Sejauh mana martabat bolasepak negara boleh ditingkatkan setanding negara seperti Jepun dan Korea Selatan? Jika suatu ketika dahulu, pasukan Malaysia jauh lebih baik daripada Jepun, bagaimana hari ini pasukan Harimau Malaya itu dilihat seperti kucing berbanding pasukan negara matahari terbit itu?
Dua perkara utama yang perlu dilakukan dalam menyediakan pasukan yang boleh bersaing di peringkat antara bangsa adalah;
1) Fizikal - menyediakan pemain yang memiliki tubuh badan yang lasak, berstamina tinggi dan lincah. Ini memerlukan perubahan cara permakanan dan gaya hidup masyarakat.
2) Mental - menyediakan pemain yang memiliki semangat juang yang tinggi, sabar, tidak bermain dengan emosi, bijak bertindak, dan optimis sepanjang waktu perlawanan. Ini memerlukan perubahan cara pemikiran masyarakat.
Cuba kita lihat pasukan Jepun, memang jelas hari ini, dari segi fizikal dan mental, mereka mendahului pasukan Malaysia. Tidak hairanlah mereka kini boleh bersaing di peringkat antarabangsa dan masuk Piala Dunia dengan mudah.
Untuk mereka mencapai tahap begitu, pastilah banyak pengorbanan dan perubahan telah mereka lakukan. Malaysia boleh belajar daripada Jepun bagaimana mereka berjaya menyediakan pasukan yang mantap begitu.